KONSERT HAFIZ SUIP-PERJALANANKU BAKAL MEMENTASKAN MEMORI ABADI BUAT HATI PEMINAT DI SARAWAK

KUCHING: Konsert Hafiz Suip-Perjalananku yang julung kali diadakan pada 13 Oktober ini bakal mementaskan memori yang abadi buat hati peminat di Sarawak, tanahair kelahirannya. Demikian akui Hafiz Suip, 34 tahun seorang penyanyi lagu pop dan balada yang sering menyampaikan persembahan lagunya dengan tema sentimental menyentuh kalbu serta emosi. “Saya buat persembahan pertama di Sarawak, dan mahu ia dijadikan memori yang sukar dilupakan dalam hidup saya dan pada masa yang sama mendekati para peminat di sini. “Kita yang perlu mudah didekati bukan peminat yang mendekati kita. Kena ingat, tanpa peminat siapalah kita (artis). “Penglibatan dengan peminat ini penting buat saya, sebab saya cuma artis menerusi kerjaya, tetapi saya juga manusia biasa seperti yang lain,” katanya semasa di sidang media Konsert Hafiz Suip-Perjalananku di sini petang Jumaat. Beliau malah menambah persembahan kali ini adalah penceritaan mengenai kisah kariernya di dalam dunia muzik selama 15 tahun yang akan dikongsikan menerusi empat segmen dalam dua jam persembahannya itu nanti.

Hafiz akan mempersembahkan 14 buah lagu terbaiknya termasuk Awan Nano, Bahagiamu Deritaku dan Ku Akui serta persembahan istimewa single terbarunya; ‘Terus Bersinar’ yang sedang hangat dimainkan di platform media. Lagu-lagu tersebut menceritakan kisah hidupnya yang pernah kariernya sebagai seorang artis tidak mendapat restu daripada bapanya yang juga seorang pendidik anak bangsa. Beliau malah meluahkan rasa gembira kerana akan menjemput beberapa artis tempatan negeri ini untuk membuat persembahan bersamanya nanti selain berduet Ernie Zakri-Berakhirlah Pencarianku.

Pada masa yang sama,Pengarah MCF Event dan Penganjur Konsert Hafiz Suip-Perjalananku, Mohammad Musyirin Hendari berkata konsert itu akan dipimpin oleh Dato’ Hashridz Murshim Hassim atau lebih dikenali sebagai Acis, Pengarah Musik Tersohor Negara di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC) di sini.
“Kami berasa amat bangga juga kerana hampir semua muzik yang terlibat dalam konsert ini adalah anak kelahiran negeri Sarawak sendiri.  “Ini membuktikan betapa hebatnya bakat-bakat tempatan kita yang mampu menghasilkan persembahan bertaraf dunia,” ujarnya sambil mendedahkan penjualan tiket masih berjalan.

Sementara itu, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP), Datu Sherrina Husain berkata pihaknya amat berbesar hati untuk memberikan sokongan penuh kepada konsert tersebut. Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh wakilnya, Nazari Bujang di sini. “Ini bukan sekadar acara muzik tapi juga satu sambutan terhadap seni dan kreativiti Anak Sarawak. “Hafiz anak kelahiran Sarawak telah memenangi hati ramai dengan suara merdunya keghairahannya terhadap muzik dan bakatnya yang tidak dapat dinafikan. “Industri hiburan juga memainkan peranan penting dalam mempromosikan warisan budaya Sarawak, menarik kedatangan pelancong, serta mengukuhkan ekonomi kreatif kita,” ujarnya. Juga menyokong acara seperti ini bukan sekadar memperkayakan lanskap budaya negeri kita tapi juga, seiring dengan misi kita untuk menjadikan Sarawak sebagai hub seni budaya dan pelancongan. Hadir sama semalam adalah; Pengurus Jualan Pejabat Cherry Malaysia, Wilson Foo.

Videos

Scroll to Top